September 08, 2009

Selamat menyambut hari Nuzul Al Quran.

Labih kurang 1443 tahun hijrah yang lalu, pada 17 Ramadhan berlaku pristiwa besar yang mengubah sejarah ketamadunan manusia apabila wahyu pertama diturunkan oleh ALLAH kepada Nabi Muhammad saw melalui perantaraan malaikat Jibril as.

Mulai daripada tarikh itu, wahyu diturunkan secara berperingkat kepada Rasulullah saw selama 23 tahun. Bagi yang pernah ke Makkah dan berpeluang mendaki Jabbal Nur, sudah tentu kita akan dapat menghayati betapa susah payah Rasulullah mendaki gunung tersebut menuju ke Gua Hira' dimana peristiwa tersebut berlaku. Pendakian yang mengambil masa diantara 2-3jam itu benar-benar menguji ketahanan mental, fizikal dan spiritual seseorang.


Setelah 1443 tahun berlalu, hari ini Al Quran bagi umat Islam hanya sekadar menjadi hiasan dinding yang diframekan, dijual dipelbagai gedung dan kedai dalam pelbagai bentuk dan rupa, Al Quran sekadar dijadikan hiasan almari, dibaca hanya ketika mayat didepan, atau ditadaruskan dibulan puasa, atau dimusabaqahkan saban tahun silih berganti, untuk mencari juara qori dan qoriah.

Sedangkan Al Quran sepatutnya menjadi petunjuk kepada orang bertaqwa (Al Baqarah:2), dan menjadi petunjuk bagi kehidupan manusia agar ia dapat membezakan mana yang halal, mana yang haram, yang dosa dan pahala, yang benar dan yang palsu, yang adil dan yang zalim, yang haq dan yang batil, yang Islam dan yang kufur (Al Baqarah:185)!

Dihari menyambut Nuzul Al Quran ini, manusia lebih sibuk dengan membeli belah daripada mengambil masa untuk membaca dan menghayati Al Quran. Peniaga penjaja lebih berebut habuan duniawi daripada janji Ilahi. Umat Islam lebih sibuk memastikan shopping raya dibereskan daripada mengejar keberkatan kehidupan Al Quran. Bazar dan pasar berjiran masjid riuh pikuk dengan tawaran spesial hari raya. Bagi kita hari ini Nuzul Al Quran bermakna hari cuti untuk bershopping raya.

Sedangkan masjid menjadi lengang. Mereka yang masih cintakan al Quran, yang cuba menghabiskan masa membaca Al Quran boleh dibilang dengan jari. Itu pun kalau ditolak Bangladesh dan Indon yang dok membaca Al Quran dalam Masjid, kita pun naik malu melihat kurangnya orang Melayu yang mengambil kesempatan di hari Nuzul Al Quran ini untuk membaca dan mentela'ah Al Quran.

Benarlah kata Rasulullah, "suatu hari Al Quran hanya tinggal menjadi hiasan. Dan akan tiba masanya nanti Al Quran diangkat kembali dari mashafnya. Manusia akan menjadi buta Al Quran. Diwaktu itu, ketamaddunan manusia tidak lebih daripada haiwan, malahan lebih buruk daripada haiwan. Umat Islam akan hanya menjadi saperti keldai, yang memikul kitab berkati-kati dibelakangnya, tapi sedikit pun tidak membawa menafaat kepada keldai itu.

Marilah kita dibulan Ramadhan penuh keberkatan ini, kembali menghidupkan Al Quran. Ingatlah, tiap Muslim mempunyai 5 tanggungjawab terhadap Al Quran. Pertama ia wajib beriman dan meyaqini Al Quran. Kedua ia wajib tilawah iaitu membaca Al Quran mengikut hukum tajwid dan bacaan yang tartil dan tahu tujuan bacaannya, ketiga ia wajib faham akan makna dan maksud Al Quran, keempat ia wajib beramal dan melaksanakan suruhan, perintah dan tegahan Al Quran, dan kelima ia wajib tabligh iaitu menyebar dan menyampaikan Al Quran.


No comments:

Post a Comment