Para ulama meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda :
لقد شهدت في دار عبد الله بن جدعان حلفا لو دعيت به في الاسلام لأجبت.
السيرة النبوية لابن كثير - (ج 1 / ص 258 ).
(Sesungguhnya
aku pernah menyaksikan di rumah Abdullah bin Jud'aan satu persefahaman,
sekiranya aku diajak bersamanya dalam Islam nescaya aku menerimanya).
Peristiwa
bersejarah ini berlaku dimasa jahiliyah, ketika Rasulullah S.A.W. belum
dilantik menjadi Rasul dalam usia dua puluhan. Apabila bapa-bapa
saudara baginda membawanya menyertai pertemuan khusus dikalangan
pemimpin utama Makkah. Rasulullah S.A.W. diizinkan menyertai perjumpaan
khas itu dalam usia yang dianggap terlalu muda dan mentah, tetapi
diakui kebijaksanaanya yang luar biasa dan akhlaknya yang sangat mulia.
Peristiwa
ini berlaku apabila seorang pengunjung Makkah daripada Qabilah Zubaid
Yaman yang berniaga, dizalimi oleh seorang bangsawan Makkah bernama Al
'Aas bin Waael. Pendatang yang dizalimi gagal mendapat pertolongan
daripada rakan-rakan kenalannya, kerana kedudukan bangsawanan si zalim
itu. Lalu mangsa kezaliman mendaki bukit Qubais berhampiran Kaabah
melaungkan rayuan pertolongan dan mencabar bahawa kesucian Makkah dan
keamanannya sudah tidak ada lagi.
Apabila seruannya didengari oleh
para pemimpin Makkah yang sedang berkumpul, mereka merasa malu dan
tercabar. Maka diadakan perjumpaan tergempar di rumah Abdullah bin
Jud'aan dengan membuat keputusan satu muafakat yang dinamakan Half Al
Fudul bagi menentang kezaliman dan membela sesiapa yang dizalimi.
Rasulullah
S.A.W. bersabda tersebut diatas dengan huraiannya : ( Kalaulah
persefahaman ini diajak sekarang, ketika berada dalam Islam pun nescaya
aku menerima dan menyertainya).
Rasulullah S.A.W. juga bersabda secara umum:
الحكمة ضالة المؤمن فأنى وجدها وهو أحق بها .(ابن ماجه).
(Kebijaksanaan
adalah barang tercicir kepunyaan seseorang yang beriman, maka di mana
sahaja dia mendapatinya, dialah yang berhak memungutnya).
Di atas
konsep inilah maka Rasulullah S.A.W. menerima persefahaman tersebut,
walaupun mereka itu daripada kalangan pemimpin jahiliyah.
Banyak
perkara baik daripada amalan zaman jahiliyah dan kalangan yang
berperikemanusiaan daripada berbagai bangsa bukan Islam, seperti
melayan utusan daripada negara luar termasuk negara musuh, perlindungan
keselamatan terhadap para diplomat, menghormati perjanjian antarabangsa
dalam perkara yang adil dan sebagainya diterima oleh Islam.
Rasulullah S.A.W. juga menyatakan sempadan dengan sabdanya :
المسلمون على شروطهم إلا شرطا حرم حلالا وأحل حراما (البخاري وغيره).
(Orang-orang
Islam itu hendaklah bertanggungjawab diatas segala syarat yang mereka
tetapkan, malainkan syarat yang mengharamkan yang halal dan menghalalkan
yang haram).
PAS adalah Parti Islam yang berpaksi dan berpandukan
hukum tertinggi mengikut undang-undang tubuhnya
(Perlembagaan).Pelaksanaannya dikawal oleh Majlis Syura Ulama, sehingga
boleh membatalkan segala keputusan dan langkah yang bertentangan dengan
ajaran Islam. Maka PAS tidak boleh disamakan dengan UMNO.
Begitu
juga hubangan PAS dengan DAP dan kalangan bukan Islam, sangat berbeza
dengan hubungan diantara komponen Barisan Nasional yang tidak berdasar
dan berkonsepkan Islam daripada Al Quran dan Sunnah, Ijma' Ulama dan
Qias.
Hubungan PAS dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat adalah
hubungan Tahaluf yang berpandukan nas tersebut diatas. Pakatan Rakyat
adalah satu muafakat politik dalam konsep Tahaluf Siyasi yang
diluluskan oleh Majlis Syura Ulama dalam skop hukum Feqah politik Islam.
Bekerjasama
dalam titik persamaan menentang kezaliman politik dan pentadbiran
negara yang dialami oleh seluruh rakyat, seperti amalan demokrasi yang
tempang, pentadbiran negara yang tempang, pengurusan ekonomi yang penuh
dengan penyelewengan, mesyarakat yang jahil dengan kelemahan pendidikan
dan undang-undang yang tidak ada kehebatan, menyebabkan krisis moral
yang parah dengan kebanjiran maksiat dan jenayah.
Umno yang
mewakili Melayu Islam dalam Barisan Nasional mencalarkan Islam dan
merosakkan imejnya. Sangat malang bagi sesiapa yang tidak mebezakan
diantara Islam dan Melayu, seperti Arab yang tidak membezakannya dengan
Islam. Islam pernah memperkasakan Arab dan Arab tumbang setelah
menjadikan Islam hanya kebanggaan sejarah tanpa amalan yang sempurna,
walaupun memiliki kekayaan melempah ruah.
Begitulah maknanya,
tegakkan Islam bersama PAS Melayu selamat dan semua kaum selamat.
Tegakkan Melayu bersama UMNO, Islam hanya menjadi jenama yang ditampal
pada kotaknya sahaja, tanpa isinya yang sebenar. Samalah seperti
meletakkan ubat batuk pada kotak yang berjenamakan ubat gatal.
Cukuplah
menegakkan Islam ala UMNO yang bergantung dengan politik wang, pangkat
dan tawaran mewah bersamanya tanpa jati diri yang sebenar. Hanya menjadi
penyakit yang memakan diri laksana pemelihara hantu yang menjadikan
tuannya, makan tidak kenyang walau pun makan sebanyak-sebanyaknya.
Melayu
yang perkasa bersama UMNO, hanya sekadar bertempik menghunus keris
taming sari sesama sendiri sehingga negeri dijajah. Merekalah baka yang
menyerah diri kepada penjajah dahulu dan mewarisi kemerdekaan yang
diletak diatas dulang emas dan menerimanya dengan melalui hamparan
permaidani dan taburan bunga. Sejarah tetap tidak boleh dibohongi
bagaimana golongan Islam bermandi darah dan air mata menentang penjajah
walau pun disembunyikan dibawah tikar yang hina.
PAS ditubuhkan
menjadi mata rantai kumpulan Islam terdahulu yang pernah diharamkan
silih berganti. PAS tetap Istiqamah dengan Islamnya menyatakan Islam
adil terhadap semua manusia. Bukan hanya Arab dan Melayu sahaja atau
hanya penganut Islam sahaja. Islam adalah rahmat Allah kepada seluruh
alam. PAS boleh bekerjasama dengan semua pihak dan tegas berpegang
kepada dasarnya dan boleh bertasamuh mengikut batas-batas Allah.
PAS
pernah bersama UMNO di tahun 70-an dan menubuhkan Barisan Nasional
bersama UMNO dan rakan-rakannya. Penyertaannya dengan keputusan
Muktamar Khas supaya teguh membawa mesej Islam secara tahaluf siyasi.
Ketika bersama UMNO, PAS memecat sesiapa kalangan ahlinya, termasuk
ahli parlimennya yang berjoget dan minum arak bersama UMNO.
Kemudian
PAS dihalau keluar daripada Barisan Nasional tahun 1978 dan selepas itu
kerajaan PAS Kelantan dijatuhkan dengan perisytiharan darurat yang
diluluskan oleh UMNO dan rakan-rakannya melalui sidang khas parlimen dan
pilihanraya khas selepas itu. Lalu PAS bersendirian mara ke hadapan
dengan cita-cita Islamnya. PAS adalah tersendiri, tidak sama dengan
UMNO.
Maka PAS tidak perlu berkiblat ke arah UMNO dan berimam
mengikut arah kiblatnya, kerana kiblat politiknya salah. Tegasnya PAS
tidak menghalang ahli DAP minum arak, makan babi, berjudi dan
sebagainya. Tetapi PAS memecat kalau ahlinya melakukan perkara yang
sama.
PAS pernah mengadakan tahaluf siyasi dengan Parti Melayu
Semangat-46 yang berpecah daripada UMNO. Parti Semangat-46 pula
mengadakan kerjasama dengan DAP.
Parti ini tidak ada lagi dan
gagasan yang dinamakan Angkatan Perpaduan Ummah yang menggabungkan PAS,
Parti Melayu Semangat-46, Berjasa dan Hamim sudah tamat. Akhirnya PAS
mengadakan tahaluf siyasi bersama Parti Keadilan Nasional yang juga
berpecah daripada UMNO. Kemudian diiikuti pula tahaluf siyasi dengan
DAP.
PAS mengucapkan terima kasih kepada UMNO dan media yang
menjadi khadamnya, kerana sangat bersimpati terhadap PAS, kerana
kononnya bimbang PAS akan menjadi parti melukut ditepi gantang. Percayalah
orang Melayu Islam tidak akan hilang jati dirinya bersama- sama dengan
PAS selagi PAS tidak meminda kedudukan Islam sebagai dasar dalam
perlembagaannnya, seperti Melayu bersama UMNO sehingga tidak bermaya di
Singapura, Pulau Pinang dan lain-lain.
Kaum lain dikalangan bukan
Islam pula jangan takut bersama PAS, kerana kumpulan dan gerombolan
yang mengapi-apikan semangat perkauman dan fanatik buta agama berada
dalam UMNO atau bersekongkol bersama UMNO.
Di sepanjang kerjasama
PAS dalam tahaluf siyasi tidak pernah rugi. Walau pun ditendang dan
dipandang lekeh. Kerjesama PAS dalam BN di awal tahun 70-an dan sehingga
akhirnya tidak rugi dengan kehilangan Kelantan setelah PAS ditendang
keluar.
Pengaruh PAS dalam kerajaan berjaya masuk ke dalam jasad
jentera kerajaan dan institusi pengajian dalam negara dan luar negara
dan bertunjang sehingga hari ini dan mereka adalah bakal menjadi jentera
pentadbiran PAS dalam Pakatan Rakyat sekiranya berjaya.
Kerjasama
PAS bersama Angkatan perpaduan Ummah (Parti Melayu Semangat-46 dan DAP)
tahun Sembilan puluhan berjaya menawan Kelantan sehingga hari ini.
Kerjasama PAS dengan Barisan Alternatif dan kemudiannya Pakatan Rakyat
berjaya menawan Terengganu pada tahun 1999 walaupun hanya satu penggal
kerana ditumbangkan dengan zalim.
Tahun 2008 pula berjaya menawan
lima negeri dan PAS memimpin tiga negeri iaitu Kelantan, Kedah dan
Perak. Manakala Selangor dipimpin Parti Keadilan Rakyat dan DAP
memimpin Pulau Pinang. Walau pun dijatuhkan begitu rupa di Perak. Inilah
sinario tahaluf siyasi yang dilaksanakan selama ini.
Kerjasama
tahaluf siyasi mutakhir ini berjaya memecahkan tembok yang melindungi
pandangan bukan Islam terhadap Islam. Usaha media berbagai bahasa
termasuk bahasa Melayu beragama Islam bagi mengelirukan menemui
kegagalan.
Sehingga akhirnya mendedahkan kepura-puraan UMNO
berjuang menegakkan hukum Hudud laksana ayam jantan kukuk berderai
pada hal ekornya bergelimang tahi sejak lebih lima puluh tahun.
Sebenarnya UMNO lah penghalang besar kepada perlaksanaan Islam kerana
telah berkuasa diperingkat negeri dan pusat.
Ketahuilah bahawa
pengajian politik bukan sahaja tersurat dalam tulisan buku dan pengajian
akademik di bilik kuliah. Terpenting juga ialah ijtihad dengan
Istiqamah ditengah medan perjuangan. PAS mempunyai semua aspek ini
dengan beristiqamah kepada ajaran Islam yang menjadi akidah dan teras
kepada semua amalannya.
Negeri Kelantan adalah satu-satunya negeri
paling lama diperintah oleh PAS sejak tahun 1959 sehingga 1977 dan kali
kedua 1990 sehingga kini adalah penyumbang besar kepada kejayaan Melayu
Muslim dalam bidang pendidikan, perkhidamatan awam, keselamatan dan
ekonomi.
Diikuti pula Terengganu Tahun 1959 sehingga 1961 dan kali
kedua 1999 sehingga 2004 dan Kedah 2008 sehingga kini. Apabila giliran
PAS dikurniakan kemenangan di negeri-negeri ini maka secara automatik
menjadi sasaran UMNO bagi melemah dan menjatuhkannya diatas nama Melayu
dan Islam. Paling malang menggunakan kedudukannya menguasai kerajaan
pusat dan melanggar konsep demokrasi dan federalisma. Mengepung
media dan menyusahkan pentadbiran dan kewangan negeri-negeri ini,
sehinggalah merampas royalti petroleum di Terengganu dan menafikan hak
Kelantan. Namun perkara ini tidak pernah dilakukan kepada Singapura
ketika dalam Malaysia, Pulau Pinang di bawah Parti Gerakan sebelum BN
dan Sabah dibawah PBS. Inilah hakikat UMNO dengan Melayu dan Islam
anutannya.
Kepada semua pihak yang bersimpati dengan PAS, saya
tegaskan, percayalah kepada kami dengan semua pengalaman yang tersebut
dan hilangkan khurafat beriman kepada UMNO parti Maha Esa.
Kepada
ahli dan penyokong PAS saya nasihatkan supaya merujuk kepada sumber ilmu
Islam yang ada dalam PAS, bukannya belajar melalui media yang bersukan
dengan Islam dan berniaga dengan politik. PAS tetap berpegang bahawa
politik adalah amanah terbesar daripada Allah. Bahagialah mereka yang
menunaikannya dengan istiqamah dan celakalah mereka yang mengkhinatinya.
Pikul amanah ini secara berjamaah jangan berseorang diri dan
memencilkan diri.
Pesanan Rasulullah S.A.W. "sesiapa yang
memencilkan diri daripada jamaah akan ditawan syaitan, laksana
serigala yang menawan kambing yang terpencil daripada kawanannya." Maka
amat bodoh kalau ditipu oleh syaitan yang dikenali.
Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
No comments:
Post a Comment