MASJID JAMEK CHEROK TOKUN
KHUTBAH JUMAAT 26.5.00
Sidang Jumaat yang dihurmati sekalian,
Pertama-tama kita sama-sama panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah swt kerana dengan izinNya kita dipertemukan lagi di tengahari Jumaat yang mulia ini dalam keadaan sihat wal afiat. Hendaknya kita terjemahkan erti kesyukuran kita dengan kita pertingkatkan lagi rasa Taqwa kepada Allah swt, mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan berbahagia di akhirat.
Saudara kaum muslimin yang dikasihi,
Di kesempatan yang mulia ini ingin saya mengajak tuan-tuan semua untuk merenung sejenak beberapa halangan yang berupa ujian dari Allah swt terhadap manusia muslim yang sewajarnya mengabdikan diri kepada Allah swt.
Halangan atau ujian pertamanya ialah hawa nafsu. Firma Allah swt ,
“ Sesungguhnya nafsu itu sangat cenderung kepada kejahatan” (Yusuf: 53)
Tuan-tuan,
Nafsu memang cekap, kesungguhannya, kejahatannya dan tipu dayanya adalah berpuluh-puluh kali ganda hebatnya dari peperangan bersenjata. Tempoh berperang dengan nafsu tiada bermusim. Tiada penghujung bahkan setiap detik nafsu berperang dengan kita. Nafsu tidak pernah tidur, tidak pernah lena. Yang lena kita, manusia. Yang lalai kita. Inilah kerja nafsu yang dibantu oleh musuh nombor satu anak cucu Adam iaitu syaitan yang menyasatkan. Nafsu denan bantuan syaitan sentiasa menghasut dan berbisik ke dalam hati manusia khasnya orang-orang muda, “Buat apa bersusah payah mentaati Allah. Buat apa sembahyang banyak-banyak. Belum tentu dapat masuk syurga. Buat apa bersusah payah menutup aurat, panas. Tidak dapat ikut fesyen. Muda hanya sekali. Masa inilah hendak enjoy. Apa salahnya hiburan rock, rap dan sebagainya.”
Katanya lagi, “Hidup biar sederhana. Dunia mahu akhirat pun mahu. Umur masih muda. Badan masih sihat dan kuat. Enjoylah dulu. Nanti esok lusa bila kita dah tua baru kita bertaubat dan beribadat betul-betul.” Inilah di antara bisikan-bisikan jahat syaitan dan nafsu ke dalam hati orang-orang muda. Allah berfirman,
“Bapanya berkata: "Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia Sesungguhnya syaitan itu bagi manusia adalah musuh yang sangat nyata.” (Yusof: 5).
Muslimin mukminin yang dirahmati Allah swt,
Apabila hati manusia telah dikuasai oleh hawa nafsu dan syaitan maka manusia bukan lagi akan mengikut kata Allah dan Rasul tetapi akan mengikuti kehendak nafsu dan syaitan. Maka jadilah manusia ini hamba kepada nafsu dan hamba kepada syaitan. Apa sahaja yang hendak dilakukanpasti akan dirujuk kepada rasa hati dan otak yang dikuasai oleh hawa nafsu dan syaitan bukan mengikut Hadith dan AlQuraan. Inilah cita-cita dan matlamat syaitan yang sentiasa menyesatkan dan mengheret anak cucu Adam bersam-samanya ke lembah Neraka Jahannam..
No comments:
Post a Comment